Thursday, January 10, 2008



Hijrah biasanya difahami sebagai berlakunya peristiwa perpindahan Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan para Sahabat r.a dari Mekah Mukarramah ke Madinatul Munawwarah, meninggalkan segala harta benda yang sangat disayangi. Antaranya rumah tangga, kebun halaman, kedai-kedai perniagaan, binatang-binatang ternakan dan segala aset hidup, dengan bergadai nyawa melintasi padang pasir pergi ke destinasi baru ‘Madinatul Munawwarah’ tanpa sebarang cagaran hidup, selain daripada keyakinan untuk menyebarkan Islam serta mendaulatkan sistem hidup berkerajaan. Kota Madinah pada ketika itu merupakan tempat yang paling sesuai bagi mendaulatkan Islam kerana penduduknya lebih memahami selok belok agama wahyu, sebab mereka biasa menerima maklumat daripada kaum Yahudi tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. melalui Kitab Suci Taurat. Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.


Alhamdulillah, negeri Kelantan Darul Naim yang selama ini terkenal sebagai Negeri Serambi Mekah telah berjaya mempelopori semangat Hijratur Rasul yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu. Semangat ini tetap menjadi agenda ajaran Islam sehingga ke hari kiamat kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): “Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah”. Kelantan sedang meneruskan semangat hijrah tersebut dengan meninggalkan riba, meninggalkan amalan mendedah aurat, meninggalkan sikap tidak mengambil cakno terhadap fakir miskin, meninggalkan hiburan-hiburan yang membawa kepada dosa dan maksiat dan meninggalkan fahaman dan semangat sekular yang mengasingkan agama daripada politik, yang dipaksikan dengan prinsip ‘ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan.


Sesungguhnya kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah kejayaan membentuk kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Inilah juga kejayaan paling besar di Kelantan. Kita berjaya membentuk kerajaan yang mengawal Islam daripada gangguan-gangguan syirik, maksiat dan kefasikan. Dan menyuburkannya dengan mengadakan bermacam-macam program yang kesemuanya berjumlah kira-kira seratus jenis pembaharuan.
Di antaranya ialah mewujudkan Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah yang telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan sendiri dengan tujuan untuk mencetuskan pengertian bahawa Al-Quranul Karim dan sains perlu bahu membahu. Kelantan Darul Naim walaupun memiliki kelengkapan yang agak kurang, tapi Allah S.W.T Maha Mengetahui sejak awal-awal lagi bahawa kita sedang berpegang pada seutas tali yang di hujung sana dipegang sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W yang ditauliahkan dengan anugerah:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada keperibadian dan kepimpinan Rasulullah S.A.W itu terdapat contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan syurga) di akhirat serta dia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (baik semasa susah mahupun semasa senang).” - (Surah al-Ahzab: 21).

Dengan ketetapan inilah kita pegang kemas-kemas tali Allah ini walaupun terpaksa mendaki gunung dan menurun lurah dengan berbekalkan doa, semoga anugerah Ilahi ini dikekalkan berterusan, dengan ingatan syarat-syarat makbul doa iaitu:

“Hendaklah kamu tetap menjalankan perintahku secara berterusan (dengan penuh istiqamah) dan janganlah kamu mengikut jalan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan (mengenai janji-janjiKu di akhirat)”. - (Surah Yunus: 89).


Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi munkar. Tanggungjawab tersebut tidak dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa pemerintahan dan daya kepimpinan yang cemerlang.
Lantaran inilah telah diriwayatkan bahawa: “Sesungguhnya as-Sultan atau pihak pemerintah itu merupakan bayangan Allah di muka bumi ini”.

Lantaran inilah juga terdapat ulama Salafus Soleh seperti al-Fudhail bin ‘Iyadh, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi yang mengatakan:


“Sekiranya kami memiliki suatu peluang keramat, apabila berdoa terus diperkenankan oleh Allah, pastilah kami akan pergunakan peluang doa keramat tersebut kepada pihak pemerintah dan Sultan sesebuah negeri, supaya Allah menganugerahkan hidayah dan taufiq-Nya”.


Ini kerana dengan taufiq dan hidayah kepada raja dan pihak pemerintah, banyak pihak dan pelbagai institusi yang wujud dalam sesebuah negara berkenaan akan menjadi baik dan dipantau dengan rahmat Allah S.W.T.

Aamiin, Yaa Rabbal ‘Aalamiin.

Friday, January 4, 2008

Sikap, tingkah laku lambang kewibawaan pemimpin

MANUSIA sering melihat pemimpin sebagai orang yang bertanggungjawab dan mempunyai keperibadian mulia. Jika pemimpin tidak prihatin dalam soal tingkah lakunya maka kewibawaan diri dan kehebatannya akan terjejas. Rakyat mempunyai hak untuk mempersoalkan sikap dan tingkah laku buruk para pemimpin mereka.Kedudukan dan kekuasaan seorang pemimpin bergantung kepada suara dan sokongan rakyat. Pemimpin yang tidak peka terhadap tingkah laku dan keperibadian diri tidak layak untuk memimpin negara kerana mereka tidak boleh menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.


Pemimpin dianggap sebagai ketua yang terlalu sibuk menguruskan soal keperluan asas rakyat. Rumah dan pejabat mereka merupakan tempat untuk rakyat mengadu dan meminta pertolongan.
Jika seorang pemimpin masih lagi leka dengan kegiatan yang berunsurkan tuntutan hawa nafsu sama ada dalam bentuk mengumpul harta sebanyak mungkin ketika diberi kuasa, atau berpoya-poya dengan wanita cantik dan menarik, maka kehebatan dan kewibawaannya terjejas akibat terlalu ghairah melayani kehendak hawa nafsunya. Pemimpin ialah orang yang mempunyai jiwa yang kental, perwatakan yang boleh meyakinkan masyarakat bahwa beliau adalah seorang yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai, serta cintakan masyarakat. Pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri begini tidak layak dilantik menjadi pemimpin kerana kelemahan menahan hawa nafsu boleh menyebabkan mereka terpesong daripada melaksanakan tugas secara serius dan berhemah. Pucuk pimpinan negara perlu menunjukkan sikap yang tegas apabila berhadapan dengan pemimpin yang terlalu ghairah dengan kegiatan yang berunsurkan kegilaan pangkat dan hawa nafsu.


Sikap terlalu gemar menutup keburukan perangai dan tingkah laku para pemimpin kerana hendak menjaga imej parti politik boleh menyebabkan pemimpin-pemimpin tersebut berterusan melakukan perbuatan yang bersalahan dengan etika kepimpinan. Malah ia juga boleh membangkitkan kemarahan dan kebosanan rakyat terhadap pucuk kepimpinan beliau. Kebanyakan masyarakat Malaysia masa kini adalah terdiri daripada orang yang berpelajaran dan mampu berfikir dan memahami tingkah laku dan sikap para pemimpin mereka. Mereka berani menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap pemimpin yang mempunyai tingkahlaku yang buruk dan tidak bertanggungjawab. Setiap pemimpin perlu memahami bahwa kedudukan dan kekuasaan mereka adalah ditentukan oleh rakyat kerana negara ini mengamalkan dasar demokrasi.


Rakyat mempunyai hak untuk menyebarkan perangai dan tingkah laku buruk para pemimpin. Hak begini amat penting bagi rakyat kerana mereka merupakan individu yang menentukan pemimpin negara. Jika rakyat tersilap memilih pemimpin maka mereka akan menghadapi kepincangan dan kehancuran akibat kurang prihatin terhadap sikap dan perangai wakil rakyat dan pemimpin mereka. Negara yang mengamalkan dasar demokrasi yang sihat akan berkembang dan maju secara pantas kerana setiap pemimpin sibuk menumpukan perhatian kepada perkhidmatan masyarakat dan negara. Masa dan tenaga mereka dikorbankan untuk membangun kawasan yang mundur dan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat. Apabila masa digunakan sepenuhnya untuk perkhidmatan masyarakat dan negara maka para pemimpin tidak mempunyai masa untuk berpoya-poya dan mengaut keuntungan diri sebanyak mungkin ketika diberi kuasa.


Kecuaian terhadap penelitian calon wakil rakyat dan pemimpin dalam aspek akhlak dan tingkah laku adalah di antara faktor yang menyebabkan dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan secara sempurna walaupun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang banyak untuk masyarakat.
Apabila rakyat menyuarakan sikap dan tingkah laku buruk dan kecuaian wakil rakyat dan pemimpin ketika diberi kuasa maka pucuk pimpinan negara perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu tersebut. Dalam konteks kepimpinan negara, ketegasan dan kewibawaan pucuk pimpinan negara merupakan penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah negara. Jika pucuk pimpinan merupakan orang yang tegas dan serius mengendalikan urusan disiplin dan etika para pemimpin di bawah bidang kuasanya, maka setiap wakil rakyat dan pemimpin tidak berani melakukan sesuatu yang berlawanan dengan etika kepimpinan kerana ia boleh menyebabkan mereka tersungkur dan bankrap.


Rakyat Malaysia hari tidak akan memilih pemimpin berdasarkan parti politik. Mereka lebih prihatin kepada individu yang dilantik menjadi wakil rakyat. Jika seorang wakil rakyat menunjukkan sikap yang buruk dan sombong ketika diberi kepercayaan memimpin masyarakat maka kedudukannya sebagai wakil rakyat mungkin tidak berkekalan walaupun keseluruhan jentera parti digunakan untuk memperkukuhkan kedudukannya. Pemimpin diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada rakyat. Jika wakil rakyat atau pemimpin terlalu gemar berpoya-poya dan melayani hawa nafsunya ketika berkuasa maka di manakah ciri-ciri kepimpinan yang boleh dihormati oleh masyarakat? Corak pemikiran dan sikap mereka adalah sama dengan remaja liar yang berkeliaran pada waktu malam. Oleh itu tidak mungkin pemimpin tersebut boleh membimbing masyarakat menjadi satu masyarakat yang berjaya dan berakhlak mulia kerana pemimpin juga bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.