Monday, September 22, 2008


Oleh : Dr Mohd Asri Zainal Abidin

ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.

Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.

Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.

Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.

Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke sekolah, bergaul dengan kawan, berjalan di kampung atau bandar, melihat televisyen dan majalah dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur anti-soleh atau negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang baik itu akan terhakis.

Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:
"Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya". (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani).

Justeru betapa pentingnya membentuk atau mewujudkan suasana yang soleh ini, maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.
Firman Allah:
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". (Surah al-Hajj: 41).

Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan politik. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.

Memang semua jenis pemerintahan akan melaksanakan urusan menegakkan dasar dan memelihara rakyatnya dari unsur-unsur yang mereka tidak ingini. Dasar-dasar yang ditegakkan itu, mungkin untuk kepentingan tertentu termasuk politik para pemerintah itu sendiri. Demikianlah larangan atau pencegahan yang dikenakan kepada rakyat. Ia mungkin untuk kebaikan umum, juga tidak mustahil barangkali untuk memelihara kepentingan pihak-pihak tertentu semata.

Namun Allah Maha Agung memerintah sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan politik agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam. Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan.

Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Sebab itu para pemerintah yang akan menegakkan persekitaran yang murni ini, seperti yang disebut dalam ayat di atas merupakan mereka yang menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan perlambangan perdampingan jiwa pemerintah dengan Allah. Sementara zakat merupakan pembebasan harta pemerintah dari kemurkaan Allah. Mereka yang bercirikan seperti ini sudah pasti akan mampu menegakkan iklim murni yang dirindui semua.

Saya cuba membicarakan tajuk ini memandang meningkatnya kerunsingan kita semua terhadap keadaan persekitaran masyarakat yang dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Inilah hasilnya apabila tanggungjawab Amar Ma‘ruf dan Nahy Mungkar tidak menguasai masyarakat. Atau jika adapun suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh.

Bahkan kadangkala suruhan kepada makruf dan pencegahan kepada mungkar berjalan atas kepentingan tertentu. Kadar kempen kepada kesedaran seperti solat, tidak lebih hebat daripada kadar kempen kepada kelalaian dan kealpaan hidup. Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.

Perkara makruf itu begitu banyak jika hendak ditegakkan. Ini termasuk menyuruh kepada solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Juga menegakkan ilmu pengetahuan, keadilan, kebajikan, kedamaian merupakan tanggungjawab Amar Makruf.

Namun biasanya, penegakan yang makruf tidaklah begitu susah sesusah usaha mencegah perkara mungkar. Maka banyak pihak seperti penceramah-penceramah TV yang sanggup mengajak kepada yang baik tetapi takut untuk mencegah yang mungkar.

Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran. Bahkan suruhan yang makruf itupun hanya dalam perkara terpilih atau lebih tertumpu kepada soal-soal kelebihan amal. Tiada keberanian menyentuh perkara-perkara pokok seperti prinsip ilmu, keadilan dan seumpamanya.

Lihatlah media penting yang Allah sediakan kepada umat Islam iaitu khutbah Jumaat. Hampir keseluruhan kaum lelaki umat Islam akan mendengar khutbah Jumaat saban minggu. Tetapi malangnya, isinya hambar. Tiada kekuatan dalam menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Pihak yang menulis khutbah itu kadang-kala merasakan tanggungjawabnya di hadapan manusia lebih utama daripada tanggungjawabnya di hadapan Allah.
Entah berapa banyak perkara mungkar yang besar-besar perlu diingatkan kepada masyarakat kita, tiba-tiba khutbah Jumaat sering menyentuh perkara yang tidak penting. Ia tidak membangunkan semangat menegakkan Islam, sebaliknya bagaikan irama menidurkan pendengar sementara menunggu solat didirikan. Hilanglah fungsi amar makruf dan nahy mungkar di celahan celoteh yang menjemput ‘lelap mata’ hadir segera.

Maka, khutbah Jumaat saban minggu gagal berfungsi menghadapi mungkar yang berkembang saban waktu. Hilanglah fungsi utama khutbah yang difardukan disebabkan tangan-tangan yang takutkan manusia lebih daripada Tuhan.

Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah
"Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan". (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.

Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.
Firman Allah:
"Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya". (Surah al-Anfal, ayat 25).
Dalam menafsirkan ayat ini Ibn ‘Abbas berkata: Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam).
Sabda Nabi saw:
"Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman". (Riwayat Muslim).

Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H):
“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 1/217218, Beirut: Dar al-Khair).

Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.

Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti meminum arak. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.
Firman Allah:
"Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu)". (Surah al-An‘am, ayat 68).

Firman Allah juga:
"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka". (Surah al-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:
“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. (Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/418, Beirut: Dar al-Fikr).

Marilah kita bina iklim takwa..

Thursday, January 10, 2008



Hijrah biasanya difahami sebagai berlakunya peristiwa perpindahan Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan para Sahabat r.a dari Mekah Mukarramah ke Madinatul Munawwarah, meninggalkan segala harta benda yang sangat disayangi. Antaranya rumah tangga, kebun halaman, kedai-kedai perniagaan, binatang-binatang ternakan dan segala aset hidup, dengan bergadai nyawa melintasi padang pasir pergi ke destinasi baru ‘Madinatul Munawwarah’ tanpa sebarang cagaran hidup, selain daripada keyakinan untuk menyebarkan Islam serta mendaulatkan sistem hidup berkerajaan. Kota Madinah pada ketika itu merupakan tempat yang paling sesuai bagi mendaulatkan Islam kerana penduduknya lebih memahami selok belok agama wahyu, sebab mereka biasa menerima maklumat daripada kaum Yahudi tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. melalui Kitab Suci Taurat. Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.


Alhamdulillah, negeri Kelantan Darul Naim yang selama ini terkenal sebagai Negeri Serambi Mekah telah berjaya mempelopori semangat Hijratur Rasul yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu. Semangat ini tetap menjadi agenda ajaran Islam sehingga ke hari kiamat kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): “Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah”. Kelantan sedang meneruskan semangat hijrah tersebut dengan meninggalkan riba, meninggalkan amalan mendedah aurat, meninggalkan sikap tidak mengambil cakno terhadap fakir miskin, meninggalkan hiburan-hiburan yang membawa kepada dosa dan maksiat dan meninggalkan fahaman dan semangat sekular yang mengasingkan agama daripada politik, yang dipaksikan dengan prinsip ‘ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan.


Sesungguhnya kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah kejayaan membentuk kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Inilah juga kejayaan paling besar di Kelantan. Kita berjaya membentuk kerajaan yang mengawal Islam daripada gangguan-gangguan syirik, maksiat dan kefasikan. Dan menyuburkannya dengan mengadakan bermacam-macam program yang kesemuanya berjumlah kira-kira seratus jenis pembaharuan.
Di antaranya ialah mewujudkan Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah yang telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan sendiri dengan tujuan untuk mencetuskan pengertian bahawa Al-Quranul Karim dan sains perlu bahu membahu. Kelantan Darul Naim walaupun memiliki kelengkapan yang agak kurang, tapi Allah S.W.T Maha Mengetahui sejak awal-awal lagi bahawa kita sedang berpegang pada seutas tali yang di hujung sana dipegang sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W yang ditauliahkan dengan anugerah:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada keperibadian dan kepimpinan Rasulullah S.A.W itu terdapat contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan syurga) di akhirat serta dia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (baik semasa susah mahupun semasa senang).” - (Surah al-Ahzab: 21).

Dengan ketetapan inilah kita pegang kemas-kemas tali Allah ini walaupun terpaksa mendaki gunung dan menurun lurah dengan berbekalkan doa, semoga anugerah Ilahi ini dikekalkan berterusan, dengan ingatan syarat-syarat makbul doa iaitu:

“Hendaklah kamu tetap menjalankan perintahku secara berterusan (dengan penuh istiqamah) dan janganlah kamu mengikut jalan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan (mengenai janji-janjiKu di akhirat)”. - (Surah Yunus: 89).


Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi munkar. Tanggungjawab tersebut tidak dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa pemerintahan dan daya kepimpinan yang cemerlang.
Lantaran inilah telah diriwayatkan bahawa: “Sesungguhnya as-Sultan atau pihak pemerintah itu merupakan bayangan Allah di muka bumi ini”.

Lantaran inilah juga terdapat ulama Salafus Soleh seperti al-Fudhail bin ‘Iyadh, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi yang mengatakan:


“Sekiranya kami memiliki suatu peluang keramat, apabila berdoa terus diperkenankan oleh Allah, pastilah kami akan pergunakan peluang doa keramat tersebut kepada pihak pemerintah dan Sultan sesebuah negeri, supaya Allah menganugerahkan hidayah dan taufiq-Nya”.


Ini kerana dengan taufiq dan hidayah kepada raja dan pihak pemerintah, banyak pihak dan pelbagai institusi yang wujud dalam sesebuah negara berkenaan akan menjadi baik dan dipantau dengan rahmat Allah S.W.T.

Aamiin, Yaa Rabbal ‘Aalamiin.

Friday, January 4, 2008

Sikap, tingkah laku lambang kewibawaan pemimpin

MANUSIA sering melihat pemimpin sebagai orang yang bertanggungjawab dan mempunyai keperibadian mulia. Jika pemimpin tidak prihatin dalam soal tingkah lakunya maka kewibawaan diri dan kehebatannya akan terjejas. Rakyat mempunyai hak untuk mempersoalkan sikap dan tingkah laku buruk para pemimpin mereka.Kedudukan dan kekuasaan seorang pemimpin bergantung kepada suara dan sokongan rakyat. Pemimpin yang tidak peka terhadap tingkah laku dan keperibadian diri tidak layak untuk memimpin negara kerana mereka tidak boleh menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.


Pemimpin dianggap sebagai ketua yang terlalu sibuk menguruskan soal keperluan asas rakyat. Rumah dan pejabat mereka merupakan tempat untuk rakyat mengadu dan meminta pertolongan.
Jika seorang pemimpin masih lagi leka dengan kegiatan yang berunsurkan tuntutan hawa nafsu sama ada dalam bentuk mengumpul harta sebanyak mungkin ketika diberi kuasa, atau berpoya-poya dengan wanita cantik dan menarik, maka kehebatan dan kewibawaannya terjejas akibat terlalu ghairah melayani kehendak hawa nafsunya. Pemimpin ialah orang yang mempunyai jiwa yang kental, perwatakan yang boleh meyakinkan masyarakat bahwa beliau adalah seorang yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai, serta cintakan masyarakat. Pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri begini tidak layak dilantik menjadi pemimpin kerana kelemahan menahan hawa nafsu boleh menyebabkan mereka terpesong daripada melaksanakan tugas secara serius dan berhemah. Pucuk pimpinan negara perlu menunjukkan sikap yang tegas apabila berhadapan dengan pemimpin yang terlalu ghairah dengan kegiatan yang berunsurkan kegilaan pangkat dan hawa nafsu.


Sikap terlalu gemar menutup keburukan perangai dan tingkah laku para pemimpin kerana hendak menjaga imej parti politik boleh menyebabkan pemimpin-pemimpin tersebut berterusan melakukan perbuatan yang bersalahan dengan etika kepimpinan. Malah ia juga boleh membangkitkan kemarahan dan kebosanan rakyat terhadap pucuk kepimpinan beliau. Kebanyakan masyarakat Malaysia masa kini adalah terdiri daripada orang yang berpelajaran dan mampu berfikir dan memahami tingkah laku dan sikap para pemimpin mereka. Mereka berani menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap pemimpin yang mempunyai tingkahlaku yang buruk dan tidak bertanggungjawab. Setiap pemimpin perlu memahami bahwa kedudukan dan kekuasaan mereka adalah ditentukan oleh rakyat kerana negara ini mengamalkan dasar demokrasi.


Rakyat mempunyai hak untuk menyebarkan perangai dan tingkah laku buruk para pemimpin. Hak begini amat penting bagi rakyat kerana mereka merupakan individu yang menentukan pemimpin negara. Jika rakyat tersilap memilih pemimpin maka mereka akan menghadapi kepincangan dan kehancuran akibat kurang prihatin terhadap sikap dan perangai wakil rakyat dan pemimpin mereka. Negara yang mengamalkan dasar demokrasi yang sihat akan berkembang dan maju secara pantas kerana setiap pemimpin sibuk menumpukan perhatian kepada perkhidmatan masyarakat dan negara. Masa dan tenaga mereka dikorbankan untuk membangun kawasan yang mundur dan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat. Apabila masa digunakan sepenuhnya untuk perkhidmatan masyarakat dan negara maka para pemimpin tidak mempunyai masa untuk berpoya-poya dan mengaut keuntungan diri sebanyak mungkin ketika diberi kuasa.


Kecuaian terhadap penelitian calon wakil rakyat dan pemimpin dalam aspek akhlak dan tingkah laku adalah di antara faktor yang menyebabkan dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan secara sempurna walaupun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang banyak untuk masyarakat.
Apabila rakyat menyuarakan sikap dan tingkah laku buruk dan kecuaian wakil rakyat dan pemimpin ketika diberi kuasa maka pucuk pimpinan negara perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu tersebut. Dalam konteks kepimpinan negara, ketegasan dan kewibawaan pucuk pimpinan negara merupakan penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah negara. Jika pucuk pimpinan merupakan orang yang tegas dan serius mengendalikan urusan disiplin dan etika para pemimpin di bawah bidang kuasanya, maka setiap wakil rakyat dan pemimpin tidak berani melakukan sesuatu yang berlawanan dengan etika kepimpinan kerana ia boleh menyebabkan mereka tersungkur dan bankrap.


Rakyat Malaysia hari tidak akan memilih pemimpin berdasarkan parti politik. Mereka lebih prihatin kepada individu yang dilantik menjadi wakil rakyat. Jika seorang wakil rakyat menunjukkan sikap yang buruk dan sombong ketika diberi kepercayaan memimpin masyarakat maka kedudukannya sebagai wakil rakyat mungkin tidak berkekalan walaupun keseluruhan jentera parti digunakan untuk memperkukuhkan kedudukannya. Pemimpin diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada rakyat. Jika wakil rakyat atau pemimpin terlalu gemar berpoya-poya dan melayani hawa nafsunya ketika berkuasa maka di manakah ciri-ciri kepimpinan yang boleh dihormati oleh masyarakat? Corak pemikiran dan sikap mereka adalah sama dengan remaja liar yang berkeliaran pada waktu malam. Oleh itu tidak mungkin pemimpin tersebut boleh membimbing masyarakat menjadi satu masyarakat yang berjaya dan berakhlak mulia kerana pemimpin juga bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.